|
Hmm... apa sudah jadi dengan masyarakat Malaysia khususnya bangsa melayu kita ni?.. Sedih rasanya. Kita dah lama perhatikan cuma malas nak komen apa-apa... malas nak menulis sebenarnya. Tp sejak semalam, dah 2 kali kita dengar komen yang serupa.. "siapa tak tengok, dia rugi besar".... Dalam hati kita mengucap panjang. Krisis nilai lagi.. krisis nilai yang semakin menjurang dalamnya.
Kita bercakap tentang program realiti hiburan yang semakin berleluasa di Malaysia. Kebelakangan ini kita melihat Malaysia sedang menghasilkan sejumlah penghibur/ artis dalam jumlah yang tidak terkawal. Yang paling menyedihkan adalah apabila melihat sokongan yang diberi oleh mereka ini... dari usia kanak-kanak 5 thn (atau mungkin lebih muda dari itu) sehinggalah kepada dewasa peringkat atuk dan nenek datang memberikan sokongan dan boleh kita temui dan lihat sendiri di kaca TV. Daripada wanita tidak menutup aurat sehinggalah kepada wanita menutup aurat separuh kepada wanita menutup aurat lengkap, pun dapat kita lihat disana. Pendek kata, rancangan-rancangan hiburan ini telah menusup masuk ke sanubari hampir setiap orang sehingga berjaya menyatukan manusia tak kira peringkat umur dan prinsip hidup. Perlukah diucapkan tahniah kepada mereka ini?.. Satu bangsakah?..
Jawapannya terletak kepada diri anda sendiri. Di mana nilai yang ada letakkan?
Sejujurnya kita sedih melihat perkembangan ini. Kita bimbangkan penularan 'aura' musik dan hiburan yang membekas dalam hati rakyat Malaysia. Kita risau memikirkan penyakit-penyakit lagho yang menular dalam hati tanpa disedari tuannya. Kita sedih melihat ibubapa bangga apabila anak2 mereka terkinja-kinja di pentas untuk meraih gelaran penghibur!.. Apatah lagi jika anak perempuan yang sudah semestinya majoritinya tidak menutup aurat!. Jika adapun yang menutup aurat, pada pendapat kita hanya akan membawa fitnah kepada agama jika dia berada di pentas dan terkinja-kinja menyanyi. Kita sedih melihat anak-anak gadis bersorak sorai melalak dan meraung mengalahkan lelaki untuk menyatakan sokongan mereka. Kita sedih melihat remaja melayu hanyut setiap minggu dalam membicarakan soal penyanyi mana yang bagus, mana yang tidak, siapa yang patut disokong, siapa tidak. Kita sedih melihat remaja lelaki lebih pandai bersorak sorai dan menunjukkan kelelakian hanya dengan tarian atau lebih dari itu hanya dengan meniru gaya dan perwatakan artis barat. Di mana hilangnya fitrah perempuan yang pemalu dan lemah lembut? Dimana hilangnya fitrah lelaki yang bersifat pelindung dan berkepimpinan?.. Jika begini halnya remaja Malaysia hanyut, bagaimanakah corak kepimpinan Malaysia pada masa akan datang?
Kita faham bila saja soal sebegini diutarakan, pastinya akan ada banyak hujah yang tidak senang. Contohnya seperti, "Perempuan sekarang tidak sama macam perempuan dahulu kala. Perempuan sekarang moden, educated, berani dan duduk/berdiri sama tinggi dengan lelaki".. <-- Ya, kita boleh terima hujah sebegini. Kita setuju bhw perempuan Islam patut ada ciri-ciri sebegini. Tapi dengan nilai yang macamana? Moden dan educated, tidak bermakna perempuan Islam harus menjual aurat dan melawan hukum yang telah ditetapkan oleh sang pencipta. Moden dan educated, seharusnya menyebabkan perempuan Islam lebih kenal siapa Tuhan yang menciptakan dia, dan lebih berilmu tentang sesuatu perkara dari semua segi. Dapat melihat sifat Allah disebalik kejadian dan penciptaan- tawadhuk, bukannya menjadi sombong dan angkuh. Moden dan educated, sepatutnya menjadikan perempuan Islam lebih malu kepada Tuhannya dan tawadhuk dalam mencari ilmu. Moden tidak bermakna harus akur dan dibelenggu oleh fesyen momokan Barat yang bertukar 4 kali setahun. Moden tidak bermakna harus goyah prinsipnya dan cuba memurnikan prinsip agama dengan budaya dan agama bukan islam. Yang hukum, tetap HUKUM. Wajib dituruti!tidak boleh memansuh atau melonggarkan dengan sewenang-wenangnya, kecuali dalam keadaan2 yang hak.
Berani, tidak bermakna harus berpakaian jeans lusuh atau memakai banyak accessori rantai di badan. Berani tidak bermakna mesti lantang suaranya. Berani tidak bermakna melenggokkan tubuh di pentas2 sambil menyanyi atau berjaya menghayati lakonan tak kira dengan siapa. Keberanian itu dalam diri..keberanian mempertahankan yang Hak dan menyatakan yang batil kerana Allah. Tepuk dada, tanya hati.. dimana kita berada dalam krisis nilai ini? Tetapi percayalah, walau bagaimana bijak pun seseorang itu, jika sudah terkinja-kinja dan melalak sebegitu rupa, orang bijak pun akan kelihatan bodoh. Hilanglah kehormatan orang terhadap dirinya.
Betapa sukarnya menemukan permata dicelah-celah keadaan masyarakat yang sedang leka dengan hiburan dan keduniaan ini kan?. Jika dulu, anak-anak yang mula berjinak -jinak dengan hiburan akan mendapat tentangan keluarga, tapi sekarang tidak lagi. Rakyat Malaysia nampaknya merestui 'pendewaan' hiburan ini dan lebih berbangga menghasilkan penyanyi dan pelakon daripada menghasilkan seorang insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Remaja Malaysia hanya mampu rancak berbincang tentang hiburan, tapi bisu bila berbicara tentang ilmu dan nilai. Remaja Malaysia sedang menghancurkan Malaysia. Setuju? Remaja Islam pula sedang menghancurkan Islam di Malaysia. Setuju?
Kita tak suka membuat provokasi tentang isu ini dan kita tak berniat untuk membuat provokasi. Hal ini kerana isu ini sudah jelas dinyatakan dalam Al-Quran--boleh atau tak bolehnya. Dan kita mohon maaf kerana kita masih belum pandai untuk menghuraikan isu ini dengan fakta ilmiah. Tapi kita harap, luahan yang sedikit ini sekurang-kurangnya dapat mengerakkan daya fikir.. fikir tentang nilai dan krisis nilai. Sekurang-kurangnya untuk bertanya diri sendiri, dimana anda berada dalam krisis nilai ini.
Namun, jika ada yang tak puas hati, silakan memberi komen. Walau macamana pun kita berharap agar kalian dapat duduk dan fikir sejenak, duduk dan fikir tentang nilai-nilai hidup. Yang manakah yang sepatutnya berada di tempat yang teratas dalam peradaban manusia. Ketandusan dari sudut nilai-nilai hidup inilah yang akan menyebabkan hilangnya tamadun peradaban manusia di dunia ini pada satu hari nanti. Yang tinggal nanti adalah peradaban yang bersifat kehaiwanan. Nauzubillah..Semoga kita tidak hidup untuk menyaksikan dunia yang sebegitu rupa. Amin.
Of course, dalam setiap perkara tentu ada pengecualiannya. Pengecualian buat remaja Malaysia dan rakyat Malaysia yang masih menekuni ilmu dan akhlak. Pengecualian buat Muslim di Malaysia yang sentiasa berjuang di jalan Allah, tak kira kecil atau besar. Alhamdulillah.. Teruskan semangat dan usaha kalian. Semoga Allah mempermudahkan usaha dan melindungi kita semua dari fitnah dunia. Semoga beroleh penamatan hidup yang baik (husnul khatimah), amin.
|